Isnin, 14 Mac 2011

6 Orang Yang Mendapat Doa Para Malaikat


 Allah SWT berfirman, “Sebenarnya (malaikat-malaikat itu) adalah hamba-hamba yang dimuliakan, mereka tidak mendahului-Nya dengan perkataan dan mereka mengerjakan perintah-perintah-Nya. Allah mengetahui segala sesuatu yang di hadapan mereka dan yang di belakang mereka, dan mereka tidak memberikan syafa’at melainkan kepada orang – orang yang diredhai Allah, dan mereka selalu berhati-hati kerana takut kepada-Nya”
*(QS Al Anbiyaa’ 26-28)

Berikut adalah senarai orang-orang yang mendapat doa oleh para malaikat:

1. ORANG YANG TIDUR DALAM KEADAAN BERSUCI.

Imam Ibnu Hibban meriwayatkan dari Abdullah bin Umar ra., bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Barangsiapa yang tidur dalam keadaan suci, maka malaikat akan bersamanya di dalam pakaiannya. Dia tidak akan bangun hingga malaikat berdoa ‘Ya Allah, ampunilah hambamu si fulan kerana tidur dalam keadaan suci‘”
*(Hadith ini disahihkan oleh Syaikh Al Albani dalam Sahih At Targhib wat Tarhib I/37)

2. ORANG YANG MENUNGGU SOLAT.

Imam Muslim meriwayatkan dari Abu Hurairah ra., bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Tidaklah salah seorang di antara kamu yang duduk menunggu solat, selama ia berada dalam keadaan suci, kecuali para malaikat akan mendoakannya ‘Ya Allah, ampunilah ia. Ya Allah sayangilah ia”
* (Sahih Muslim no. 469)

3. ORANG YANG BERADA DI SAF HADAPAN KETIKA SOLAT.

Imam Abu Dawud dan Ibnu Khuzaimah dari Barra’ bin ‘Azib ra., bahawa Rasulullah SAW telah bersabda, “Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat kepada orang-orang yang berada pada saf-saf terhadapan”
*(Hadith ini disahihkan oleh Syaikh Al Albani dalam Sahih Sunan Abi Dawud I/130)

4. ORANG YANG MENYAMBUNG SAF (tidak membiarkan kekosongan di dalam saf).

Para Imam iaitu Ahmad, Ibnu Majah, Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibban dan Al Hakim meriwayatkan dari Aisyah ra., bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya Allah dan para malaikat selalu berselawat kepada orang-orang yang menyambung saf-saf”
*(Hadith ini disahihkan oleh Syaikh Al Albani dalam Sahih At Targhib wat Tarhib I/272)



5. KETIKA SEORANG IMAM SELESAI MEMBACA AL FATIHAH.

Imam Bukhari meriwayatkan dari Abu Hurairah ra., bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Jika seorang Imam membaca ‘ghairil maghdhuubi ‘alaihim waladh dhaalinn’, maka ucapkanlah oleh kalian ‘aamiin’, kerana barangsiapa ucapannya itu bertepatan dengan ucapan malaikat, maka ia akan diampuni dosanya yang lalu”
*(Sahih Bukhari no. 782)

6. ORANG YANG DUDUK DI TEMPAT SOLATNYA SETELAH MELAKUKAN SOLAT.

Imam Ahmad meriwayatkan dari Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Para malaikat akan selalu berselawat kepada salah satu di antara kalian selama ia ada di tempat solat di mana ia melakukan solat, selama ia belum batal wudhu’nya, (para malaikat) berkata, ‘Ya Allah ampunilah dan sayangilah ia‘”
*(Al Musnad no. 8106, Syaikh Ahmad Syakir mensahihkan hadith ini)

Khamis, 10 Mac 2011

Kehidupan Syeikh Said Hawa


Kisah kehidupan Ummu Muhammad (isteri kepada Syeikh Said Hawa) sepanjang bergelar isteri kepada seorang pejuang.


Artikel ini diterbitkan hasil pertemuan sekumpulan Muslimat Malaysia bersama Ummu Muhammad pada tahun 2000. Semoga bermanfaat.

Bagaimanakah Kehidupan Syeikh Said Hawa Secara Terperinci?

Syeikh Rahimahullah amat sibuk dengan urusan dakwah sejak sebelum berkahwin lagi.Oleh itu,selepas berkahwin beliau berusaha meluangkan masanya untuk bersama anak-anaknya dan berbincang dalam pelbagai isu serta mendidik mereka dalam urusan agama dan kemasyarakatan.

Anak-anaknya masih kecil ketika beliau dipenjarakan selama 5 tahun pada 1973 hingga 1978.Lalu saya memikul tanggungjawab mendidik anak-anak dan ketika itu dikurniakan 4 orang anak, 3 lelaki dan seorang perempuan - Muhammad, Ahmad, Mu'az dan Fatimah, alhamdulillah.

Sesungguhnya Allah mengurniakan bantuan kepada saya sehingga mampu memberikan didikan agama buat anak-anak. Justeru, apabila beliau keluar dari penjara maka beliau mendapati anak-anaknya telah membesar di bawah tarbiyah yang baik.

Setiap pagi, beliau akan meluangkan masa bersama anak-anak dan kadangkala sekitar pukul 9 ke 10 malam.Manakala waktu selebihnya adalah untuk urusan dakwah,menulis dan mengarang.Saya akan membantunya dalam beberapa aspek: Jika dia mengarang maka saya akan menaipkan untuknya dan Alhamdulillah kami mampu menghasilkan beberapa kitab.Beliau juga tidak pernah mengabaikan aspek tarbiyah anak-anaknya bahkan memperuntukkan satu hari setiap minggu untuk berkelah dan sepanjang perkelahan tersebut beliau akan mengadakan perbincangan dan sebagainya dengan anak-anak.Kebiasaannya kami berkelah pada hari Khamis manakala hari Jumaat kami akan berada di rumah.

Hakikatnya sesiapa yang mengatur waktunya , pasti dia akan mendapat faedah yang banyak dari aturan tersebut.

Bagaimana Perasaan Ummu Muhammad Ketika Syeikh Rahimahullah Ditangkap dan Dipenjarakan?

Ketika itu,harapan dan pergantungan saya hanyalah pada Allah dan saya tidak sekalipun hilang kawalan diri. Harapan saya agar beliau segera keluar dari penjara dan boleh menyambung semula kerja-kerja dakwah beliau. Saya tetap meneruskan pendidikan terhadap anak-anak sebagaimana biasa dan menggunakan pelbagai wasilah pendidikan seperti kaset-kaset Al-Quran dan kisah-kisah Agama.

Mereka mula menghafaz al-Quran ketika berusia 5 tahun dan kini,tiga daripada mereka telah pun hafiz al-Quran malah mempraktikkan isi kandungannya, alhamdulillah. Selepas 2 bulan beliau keluar dari penjara, adiknya Mahmud, seorang pemuda soleh, melihat beliau di dalam mimpi dibunuh dan mati syahid.

Bagaimanakah Bentuk Kehidupan Ummu Muhammad dan Syeikh Rahimahullah Sebagai Pasangan Suami Isteri?

Kami sama-sama memanfaatkan masa dan menunaikan haknya dan tidak wujud sebarang pembaziran.

Contohnya,jika kamu keletihan,jangan kamu berehat terus,sebaliknya lakukan sesuatu yang menyenangkan dan tidak meletihkan seperti sambil kamu duduk, kamu menulis sesuatu yang berfaedah. Atau letakkan anak kamu di sisi dan kamu ajari mereka sesuatu.Jika dikunjungi tetamu,segerakan penyediaan hidangan mereka. Ataupun jika kamu dikunjungi tetamu secara mengejut, bersedia menyambut mereka. Kesimpulannya, kamu perlu berusaha memanfaatkan waktu.

Kami akan membaca al-Quran selepas solat Subuh dan kemudian meluangkan masa untuk penulisan selama 2 jam tetapi ini kebiasaannya pada waktu cuti. Jika waktu persekolahan, kami akan menulis sekembalinya dari sekolah jika tiada tetamu yang berkunjung. Jika beliau bekerja sendirian, sibuk dengan membaca kitab-kitab lama, saya akan menjalankan kerja-kerja asas rumah dan mengajar anak-anak.Beliau sentiasa meluangkan masa menziarahi kaum kerabatnya pada hari Jumaat. Inilah rutin kami semenjak kami mendirikan rumahtangga.

Pernah sekali saya mimpikan beliau ketika beliau masih dalam bilik kecil dan sempit di dalam penjara. Dalam mimpi itu seolah-olah saya berdiri di hadapan bilik kurungan tersebut dan pintunya terbuka. Saya melihat cahaya memancar dari bilik tersebut dan timbul ketenangan di hati saya bahawa al-Quran yang dihafaznya menjadi pembantunya. Beliau dikurung di situ selama 9 bulan dan selama tempoh itu beliau tekun mengulangkaji al-Quran. Tidak berapa lama selepas itu beliau dikeluarkan ke penjara yang lebih besar yang dihuni oleh orang lain.
Selepas 5 tahun beliau dibebaskan dan ramai yang tidak percayakan peristiwa tersebut melainkan setelah melihatnya dengan mata mereka sendiri. Mereka semua meraikan pembebasan Syeikh Rahimahullah di rumah keluarganya.

Bagaimanakah As-Syeikh Mengenali Ummu Muhammad?
Awalnya, saya hanya mengetahuinya ketika di tahun akhir di universiti sedangkan dia ketika itu telah 2 tahun meninggalkan universiti. Saya tidak mengenalinya langsung namun mengetahuinya dari sepupu sebelah ibu saya. Sebelum kami berkahwin, berlaku pelbagai penentangan di Syria, kemudian demonstrasi Hammah, masjid-masjid dibakar dan keadaan ini memaksa beliau berlindung di Iraq selama 2 bulan. Beberapa individu tertentu yang baik hati telah membantunya sehingga diampuni dan dibolehkan memasuki Syria kembali. Sekembalinya dari Iraq, kami terus mendirikan rumahtangga dan menetap di kampungnya, Hammah selama 2 tahun. Kemudian kami ke Saudi selama 5 tahun dan kembali semula ke Syria dan ketika itulah beliau dipenjarakan.

Beliau sering menawarkan saya menemaninya dalam musafir namun saya lebih selesa untuk bersama anak-anak dan meneruskan tanggungjawab saya mendidik mereka. Waktu keluar untuk urusan dakwahnya sering tidak menentu namun saya akan selalu berpesan setiap kali beliau ingin keluar.." ALLAH MA'AK" (ALLAH BERSAMA KAMU) dan apabila tetamu datang , saya akan ucapkan "Ahlan wa sahlan."

Jika dikunjungi keluarganya, saya akan meraikan dan melayan mereka dengan sebaiknya. Antara sikap beliau yang amat saya fahami adalah beliau inginkan agar ibu bapanya dilayan dengan baik. Begitu juga dengan tetamunya. Ibunya masih ada lagi dan kami sering menziarahinya. Bapanya telah pulang ke rahmatullah 4 bulan lebih selepas Syeikh Rahimahullah meninggal.

Apakah Aturan Pendidikan Untuk Anak-anak Ummu Muhammad?

Pertamanya, suruh anak-anak mengerjakan dan menyelesaikan urusan agama bermula dari aspek Tauhid dan Ibadat.

Ajari mereka al-Quran dan mulakan dengan Surah Al-Ikhlas sehingga mereka mampu memahami keesaan Allah. Tekankan tentang aspek ibadah seperti solat, puasa, zakat dan haji. Pada masa yang sama aspek akhlak dan pergaulan dididik dengan sebaiknya kerana semua perkara ini perlu dipupuk sejak anak-anak masih kecil.

Tarbiyah dalam aspek ibadah dan agama bila dipupuk sejak kecil, maka bila mereka mencapai usia mukallaf maka mereka tidak akan rasa susah dan tertekan kerana semua perkara tersebut telah menjadi rutin dan resam kehidupan mereka. Pendidikan agama buat anak-anak akan memberi impak pada sudut Akhlak mereka,oleh itu wajib bagi ibu bapa mendidik mereka atas dasar perintah dan suruhan Allah.

Jika sudut Agama pada anak-anak diabaikan ketika mereka masih kecil, maka proses didikan tersebut akan sukar terutamanya apabila mereka mencapai usia 10 tahun atau lebih,dan masalah ini lebih ketara kepada anak-anak perempuan. Komitmen anak-anak dalam berpakaian,menutup aurat,solat dan puasa akan menjadi sukar ketika itu malah penentangan sering berlaku disebabkan tiadanya latihan di peringkat awal.

Suasana didikan yang saya terima dan ketika bersama Syeikh Rahimahullah adalah sama,sama ada dari segi pakaian, kerja dakwah , penulisan, dan menyambut tetamu. Lantaran semuanya atas dasar dakwah dan Islam. Niat kami sentisa , InsyaAllah adalah kerana Allah dan untuk Islam serta atas dasar menegakkan kalimah Allah Taala.

Isnin, 7 Mac 2011

Khutbah Terakhir Nabi s.a.w

KHUTBAH TERAKHIR NABI MUHAMMAD S.A.W
Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendakku katakan. Aku tidak, mengetahui adakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu, dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada hari ini.
Wahai manusia, sepertimana kamu mengangap bulan ini dan kota ini suci, maka angaplah jiwa dan harta setiap orang muslim sebagai amanah yang suci. Kembalikanlah harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapapun, agar orang lain tidak menyakiti kamu pula. Ingatlah bahawa sesunguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu, dan Dia pasti membuat perhitungan diatas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang.
Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia tidak berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutnya dalam perkara-perkara kecil.
Wahai manusia sebagaimana kamu mempunyai hak keatas para isteri kamu mereka juga mepunyai hak keatas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka keatas kamu mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik, dan berlemah lembutlah terhadap mereka kerana sesunguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu ke atas mereka ialah sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.
Wahai manusia dengarlah bersunguh-sunguh kataku ini , Sembahlah Allah, dirikanlah sembahyang lima kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadhan, dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakan ibadah haji sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap muslim adalah bersaudara kepada muslim yang lain. Kamu semua adalah sama tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya, kecuali dalam taqwa dan amal soleh. Ingatlah kamu akan menghadap Allah suatu hari nanti untuk dipertanggungjawabkan atas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu, awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.
Wahai manusia, tidak ada lagi nabi dan rasul yang akan datang selepasku. Dan tidak akan lahir agama baru.
Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesunguhnya aku tinggalkan kepada kamu DUA perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan sesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan Sunnahku.
Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku menyampaikan pula kepada orang lain, dan yang lain menyampaikan pula kepada yang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang mendengar terus dariku. Saksikan ya Allah bahawasanya aku telah sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hambaMu….

***khutbah ini telah disampaikan pada 9hb Zulhijjah Tahun 10 di Lembah Uranah, Gunung Arafah***

Ahad, 19 Disember 2010

Menuju Syurga Allah

Daripada Abu Abdillah Jabir bin Abdullah al-Ansari r.a bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada rasulullah SAW: “Apakah pendapat tuan sekiranya saya melakukan solat-solat fardu (lima waktu), berpuasa di bulan Ramadhan, menghalalkan apa yang halal, mengharamkan apa yang haram dan tidak menambahkan sesuatu pun padanya, adakah aku akan masuk ke dalam syurga.”
(H.R Muslim)
Huraian:
Jalan ke syurga adalah jelas dan mudah kerana Allah telah menentukan baginya batasan-batasan dan amalan-amalan yang menyampaikan seseorang itu kepadanya. Apa yang penting adalah iltizam seseorang itu dengan segala apa yang difardukan serta meninggalkan perkara-perkara yang diharamkan kerana Allah SWT sesungguhnya tidak meletakkan beban dan kesusahan yang tidak mampu dipikul oleh hamba-Nya. Ini sejajar dengan firman Allah SWT yang maksudnya:” Allah menghendaki yang mudah dan tidak menghendaki yang sukar bagi kamu.” (al-Baqarah: 185) Seharusnya jika kita mengharapkan kejayaan di dunia dan kejayaan di akhirat maka kita hendaklah menjadi ‘tamak’ untuk menempati kedudukan yang tinggi di sisi Allah SWT dengan tidak meninggalkan amalan sunat dan tidak juga mendekati perkara yang makruh.
Demikian juga kita tidak seharusnya membeza-bezakan antara amalan yang dituntut sama ada yang wajib mahupun yang sunat sebagaimana juga kita tidak akan membeza-bezakan perkara yang jelas dicegah iaitu haram dengan perkara yang tidak digalakkan seperti makruh.