Ahad, 19 Disember 2010

Menuju Syurga Allah

Daripada Abu Abdillah Jabir bin Abdullah al-Ansari r.a bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada rasulullah SAW: “Apakah pendapat tuan sekiranya saya melakukan solat-solat fardu (lima waktu), berpuasa di bulan Ramadhan, menghalalkan apa yang halal, mengharamkan apa yang haram dan tidak menambahkan sesuatu pun padanya, adakah aku akan masuk ke dalam syurga.”
(H.R Muslim)
Huraian:
Jalan ke syurga adalah jelas dan mudah kerana Allah telah menentukan baginya batasan-batasan dan amalan-amalan yang menyampaikan seseorang itu kepadanya. Apa yang penting adalah iltizam seseorang itu dengan segala apa yang difardukan serta meninggalkan perkara-perkara yang diharamkan kerana Allah SWT sesungguhnya tidak meletakkan beban dan kesusahan yang tidak mampu dipikul oleh hamba-Nya. Ini sejajar dengan firman Allah SWT yang maksudnya:” Allah menghendaki yang mudah dan tidak menghendaki yang sukar bagi kamu.” (al-Baqarah: 185) Seharusnya jika kita mengharapkan kejayaan di dunia dan kejayaan di akhirat maka kita hendaklah menjadi ‘tamak’ untuk menempati kedudukan yang tinggi di sisi Allah SWT dengan tidak meninggalkan amalan sunat dan tidak juga mendekati perkara yang makruh.
Demikian juga kita tidak seharusnya membeza-bezakan antara amalan yang dituntut sama ada yang wajib mahupun yang sunat sebagaimana juga kita tidak akan membeza-bezakan perkara yang jelas dicegah iaitu haram dengan perkara yang tidak digalakkan seperti makruh.

Selasa, 7 Disember 2010

4 golongan leleki yang menempah neraka

Pertama:- 'Ayahnya' - Apabila seseorang yang bergelar ayah tidak memperdulikan anak-anak perempuannya di dunia.Dia tidak memberikan segala keperluan agama seperti mengajar solat, mengaji dan sebagainya.Dia membiarkan anak-anak perempuannya tidak menutup aurat.. tidak cukup kalau dengan hanya memberi kemewahan dunia sahaja maka dia akan ditarik oleh anaknya.



Kedua:- 'Suaminya' - Apabila seorang suami tidak memperdulikan tindak tanduk isterinya. Bergaul bebas di pejabat,memperhiaskan diri bukan untuk suami tapi untuk pandangan kaum lelaki yang bukan mahram,apabila suami mendiamkan diri.. Walaupun dia seorang alim (solat tidak tangguh, puasa tidak tinggal)maka dia akan ditarik oleh isterinya.



Ketiga:- 'Abang-abangnya' - Apabila ayahnya sudah tiada, tanggungjawab menjaga maruah wanita jatuh kepala abang-abangnya.. jikalau mereka hanya mementing keluarganya sahaja dan adik perempuannya dibiar melencong dari ajaran ISLAM. Tunggulah tarikan adiknya di akhirat.



Keempat:-' Anak Lelakinya' - Apabila seorang anak tidak menasihati seorang ibu perihal kelakuan yang haram dari Islam, maka anak itu akan disoal dan dipertangungjawabkan diakhirat kelak.. Nantikan tarikan ibunya.



Maka kita lihat betapa hebatnya tarikan wanita bukan sahaja di dunia malah di akhirat pun tarikannya begitu hebat...maka kaum lelaki yang bergelar ayah / suami / abang atau anak harus memainkan peranan mereka yang sebenar, firman ALLAH S.W.T.:-



" Hai anak adam peliharakanlah diri kamu serta ahli kamu dari api neraka,di mana bahan bakarnya ialah manusia dan batu-batu.."



Hai wanita, kasihankan ayah anda, suami anda,abang-abang anda serta anak-anak lelaki anda..Kesiankanlah mereka dan juga diri kamu sendiri..jalankan perintah ALLAH S.W.T. dengan bersungguh-sungguh dan dengan penuh ikhlas..



Akhir kata, marilah kita berdoa agar kita semua terselamat dari ditarik dan tertarik oleh mana-mana pihak. Harga seseorang muslim adalah sangat berharga.

ALLAH S.W.T. nilaikan seseorang muslim dengan SYURGA.. semua kaum muslim masuk syurga..janganlah kita membuang atau tidak mengendah janji ALLAH S.W.T.



Semoga kita semua tergolong dari ahli syurga.



AMIN...

Isnin, 6 Disember 2010

Salam Maal Hijrah: Renungan inti Surah Al-’Asr Mula semangat hijrah dengan sikap tawaduk

Tahun baru 1432 hijrah menuntut kita untuk menghisab diri dimana kita sekarang. Insan beriman yang kuat dan diangkat martabatnya adalah mereka yang sentiasa melaksanakan tugas dengan tanggungjawab dan kebenaran. Jiwa para daie harus disemai dengan faham Islami secara jujur dan tidak berpaling daripada kebenaran. Saling ingat mengingati diantara satu sama lain secara penuh jujur demi meraih Mardhotillah.


Dalam menghitung setiap tindakan kita selama ini, sejauh mana kita telah melaksanakan amanah sebagai hamba Allah SWT. Apakah kita telah benar-benar melaksanakannya mengikut lunas dan etika Islam. Sejauhmanakah tugas kita sebagai manusia yang dilahirkan oleh Allah untuk melaksanakan tugas benar-benar tercapai atau sebaliknya. Oleh sebab itu dalam menyambut Tahun baru hijrah pada kali ini kita mulai dengan menghisab diri samada tugas kita selama setahun sebelum ini  atau tahun-tahun sebelumnya telah kita lakukan demi menjalankan amanah sebagai khalifah Allah dan sebagai hambanya yang beriman.
Mari kita renung firman Allah dalam surah Al-Asr yang bermaksud,
”Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Melainkan mereka yang beriman dan beramal soleh. Dan mereka yang berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran.”
Mari kita mulai tahun baru ini dengan merenung ingatan Allah SWT daripada intipati ayat di atas ini yang memberi satu nafas baru kepada kita sebagai insan yang bergelar manusia. Sesungguhnya manusia yang berjaya di sisiNya adalah mereka yang sentiasa menjaga masa dengan amalan yang diredhai oleh Allah . Mereka yang beriman dan beramal soleh adalah orang-orang yang sentiasa berada di sisi Allah dan syarat bagi yang beriman itu haruslah mereka yang berpegang kepada dua prinsip iaitu berpesan dengan kebenaran dan berpesan dengan kesabaran . Kedua-dua konsep ini boleh dijadikan panduan kita untuk menjana kefahaman bagaimana untuk kita memimpin diri bagi meneruskan tahun mendatang. Sudah pasti kita semai budaya murni yang digariskan oleh Islam seperti amalan nasihat menasihati, berkata benar dalam setiap tindakan, merancang setiap usaha dengan garis panduan syarak, memastikan cara dan bentuk tindakan selari dengan panduan islam. Bahkan segala urusan seharian kita haruslah dipastikan ianya benar-benar suci daripada segala kecelaruan dan keburukan.
Marilah kita sama-sama renung kembali semangat hijrah dengan mata hati kita. Pemahaman dan jiwa yang luhur terhadap tanggungjawab sebagai insan yang dijadikan oleh Allah harus kita martabatkan bukan sahaja untuk diri sendiri malah untuk orang lain. Kejayaan yang kita ukir sepanjang hidup tidak harus kita raikan sendiri malah ianya mesti diraikan bersama dengan orang lain. Kita mulai semangat hijrah 1432 ini dengan jiwa tawaduk, berusaha mempertingkatkan kualiti diri untuk mendapat keredhaan Allah SWT

Khamis, 25 November 2010

Wujudkah Manusia Pra-Sejarah?




Kita semua sedia maklum setelah didedahkan melalui pembelajaran di sekolah bahawa manusia awalnya melalui beberapa zaman. Dibahagikan beberapa fasa seperti zaman batu dan sebagainya. Apa yang barat gambarkan.. manusia ketika itu sangat tidak bertamadun, bercawat, memburu serta memakan daging mentah. Ilustrasi di atas adalah sesuatu yang biasa dan melekat kemas di dalam otak pemikiran kita. Tapi benarkah begitu keadaannya sejak nabi Adam dahulu?

Terlebih dahulu mari kita lihat kandungan Al Quran. Antara yang terkandung di dalamnya adalah kisah-kisah para nabi termasuklah nabi Adam semenjak diturunkan dari syurga hinggalah kepada Nabi Muhammad saw. Tidak ada pun menceritakan perihal manusia di zaman batu atau sebagainya. Yang ada antaranya adalah kehebatan kerajaan Nabi Sulaiman, Firaun, Namrud dan kesemua kisah tersebut terbukti dengan peninggalan kesan-kesan sejarah mereka yang mengagungkan.




Setiap zaman mempunyai teknologi mereka sendiri. Zaman firaun misalnya..kalau tidak masakan mereka mampu membina piramid yang begitu hebat. Maknanya ketika itu sudah wujud teknologi yang menjadi misteri sehingga kini. Bagaimana mereka boleh menguasai teknologi tersebut. Sekarang mari kita berbalik kepada nabi Adam...

Nabi Adam sebelum diturunkan ke bumi tinggal di dalam 'syurga'. Syurga adalah satu tempat yang tiada tandingannya baik dari segi apapun di dunia ini. Yalah ia adalah sesuatu yang 'tidak pernah terlintas oleh hati, dilihat oleh mata dan didengar oleh telinga'. Kalau kita berhujah secara bodoh sudah tentulah teknologinya 'Mega Super Ultra Modern'. Jadi Nabi Adam telah melihat semua ini dan melaluinya.

Bila Nabi Adam berada di dunia adakah beliau lupa terus teknologi-teknologi ini tanpa menyebarkan kepada keturunannya?. Sebab usia beliau sangat lama bukan seperti sekarang. Adakah baginda bercawat? tak mungkin... jadi nampaknya sudah lama kita semua di tipu oleh barat selama ini.
brazil650.jpg
Timbul satu persoalan? Bagaimana pula yang ada di papua New Guinea, Amazon, Burma, Filipina, Irian Jaya dan sebagainya.. tidakkah ia menggambarkan teori barat itu betul? Jawapan kepada persoalan tersebut ialah.. apakah tidak mungkin dalam arus yang moden, ada yang lari darinya dan inginkan kehidupan yang tersendiri di dalam hutan dan seterusnya beranak pinak di sana.
Bruno Manser adalah contoh terbaik, orang barat dari negara maju yang menjalani kehidupan bersama suku kaum penan di Sarawak. Semua itu tidak mustahil berlaku.
Sekarang mana yang anda lebih percaya.. Quran atau Orang Barat?

Rabu, 24 November 2010

Rancangan Jadikan Malaysia Sebagai Hub Hiburan Amat Dikesali


Kuala Lumpur, 26 Oktober 2010 - Tindakan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mahu menjadikan Malaysia sebuah hub pusat hiburan malam bagi memacu industri pelancongan mengikut Program Transformasi Ekonomi (ETP) adalah sangat dikesali.
Berdasarkan perancangan tersebut, kerajaan akan menubuhkan beberapa kelab malam terkemuka, menganjurkan konsert utama, melonggarkan garis panduan untuk penghibur antarabangsa dan “mempakejkan” semula acara antarabangsa seperti Formula 1 dan MotoGP.
Ketika isu gejala sosial seperti pembuangan bayi, zina, rogol dan lain-lain dibincangkan dengan hangat di media massa, tiba-tiba kerajaan menyongsang arus merancang pula untuk menjadikan Malaysia sebagai hub hiburan.
Kajian menunjukkan bahawa gejala sosial yang melanda negara kita pada hari ini antara punca utamanya adalah hiburan yang berlebihan dan tidak terkawal. Nafsu manusia dirangsang melalui hiburan-hiburan seumpama ini yang akhirnya membawa kepada penzinaan dan seterusnya pembuangan anak apabila mengandung.
Dengan perancangan ini, jelas menunjukkan bahawa kerajaan tidak serius untuk mengatasi gejala sosial yang berlaku. Kerajaan lebih mengutamakan keuntungan duit semata-mata berbanding dengan usaha untuk mengatasi gejala tersebut apabila menjangkakan ia akan memberi pendapatan negara kasar sebanyak RM 427 juta dan mewujudkan sebanyak 8,000 peluang pekerjaan.
Atas rancangan tersebut, kerajaan akan menubuhkan zon hiburan di Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang, Genting Highlands, Pulau Pinang, Langkawi dan Kota Kinabalu dengan pelaburan sebanyak RM467 juta yang akan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan. Jangkaan pulangan hasil pelaburan tersebut adalah sebanyak RM1.8 bilion menjelang 2020.
Perlu dinyatakan di sini bahawa walaupun kerajaan telah menganjurkan pelbagai program keagamaan seperti sambutan hari-hari kebesaran Islam, ceramah, kuliah dan lain-lain termasuk yang terbaru menubuhkan TV Al-Hijrah yang diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri, program-program tersebut hanya akan menjadi sia-sia apabila kerajaan terus menggalakkan hiburan yang berlebihan.
Sebagai seorang manusia, seseorang akan lebih cenderung kepada hiburan berbanding dengan program keagamaan kerana sifat tabiat semulajadi manusia yang diciptakan adalah sedemikian.
Rancangan kerajaan ini menampakkan lagi bahawa kerajaan tidak ada keinginan politik untuk melaksanakan Islam secara menyeluruh dan membongkarkan lagi pembohongan kerajaan bahawa negara ini adalah negara Islam untuk mengaburi mata orang Islam tetapi hakikatnya negara ini adalah sebuah negara sekular.
Justeru, Ulamak Pelapis PAS menentang sekeras-kerasnya tindakan kerajaan ini yang ingin menjadikan Malaysia sebagai hub hiburan. Jika kerajaan ikhlas untuk mengatasi masalah gejala sosial dan membangunkan negara mengikut acuan sendiri, tidak acuan barat, seharusnya kerajaan membatalkan cadangan ini dan seterusnya mengurangkan tempat-tempat hiburan yang ada. Kerajaan seharusnya berusaha untuk membentuk suasana Islam dan bukannya menghalalkan cara demi untuk mencapai matlamat.