Isnin, 6 Disember 2010

Salam Maal Hijrah: Renungan inti Surah Al-’Asr Mula semangat hijrah dengan sikap tawaduk

Tahun baru 1432 hijrah menuntut kita untuk menghisab diri dimana kita sekarang. Insan beriman yang kuat dan diangkat martabatnya adalah mereka yang sentiasa melaksanakan tugas dengan tanggungjawab dan kebenaran. Jiwa para daie harus disemai dengan faham Islami secara jujur dan tidak berpaling daripada kebenaran. Saling ingat mengingati diantara satu sama lain secara penuh jujur demi meraih Mardhotillah.


Dalam menghitung setiap tindakan kita selama ini, sejauh mana kita telah melaksanakan amanah sebagai hamba Allah SWT. Apakah kita telah benar-benar melaksanakannya mengikut lunas dan etika Islam. Sejauhmanakah tugas kita sebagai manusia yang dilahirkan oleh Allah untuk melaksanakan tugas benar-benar tercapai atau sebaliknya. Oleh sebab itu dalam menyambut Tahun baru hijrah pada kali ini kita mulai dengan menghisab diri samada tugas kita selama setahun sebelum ini  atau tahun-tahun sebelumnya telah kita lakukan demi menjalankan amanah sebagai khalifah Allah dan sebagai hambanya yang beriman.
Mari kita renung firman Allah dalam surah Al-Asr yang bermaksud,
”Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Melainkan mereka yang beriman dan beramal soleh. Dan mereka yang berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran.”
Mari kita mulai tahun baru ini dengan merenung ingatan Allah SWT daripada intipati ayat di atas ini yang memberi satu nafas baru kepada kita sebagai insan yang bergelar manusia. Sesungguhnya manusia yang berjaya di sisiNya adalah mereka yang sentiasa menjaga masa dengan amalan yang diredhai oleh Allah . Mereka yang beriman dan beramal soleh adalah orang-orang yang sentiasa berada di sisi Allah dan syarat bagi yang beriman itu haruslah mereka yang berpegang kepada dua prinsip iaitu berpesan dengan kebenaran dan berpesan dengan kesabaran . Kedua-dua konsep ini boleh dijadikan panduan kita untuk menjana kefahaman bagaimana untuk kita memimpin diri bagi meneruskan tahun mendatang. Sudah pasti kita semai budaya murni yang digariskan oleh Islam seperti amalan nasihat menasihati, berkata benar dalam setiap tindakan, merancang setiap usaha dengan garis panduan syarak, memastikan cara dan bentuk tindakan selari dengan panduan islam. Bahkan segala urusan seharian kita haruslah dipastikan ianya benar-benar suci daripada segala kecelaruan dan keburukan.
Marilah kita sama-sama renung kembali semangat hijrah dengan mata hati kita. Pemahaman dan jiwa yang luhur terhadap tanggungjawab sebagai insan yang dijadikan oleh Allah harus kita martabatkan bukan sahaja untuk diri sendiri malah untuk orang lain. Kejayaan yang kita ukir sepanjang hidup tidak harus kita raikan sendiri malah ianya mesti diraikan bersama dengan orang lain. Kita mulai semangat hijrah 1432 ini dengan jiwa tawaduk, berusaha mempertingkatkan kualiti diri untuk mendapat keredhaan Allah SWT

Tiada ulasan:

Catat Ulasan